MAC 2022

Projek LPB SSLR Lawas Ke Persimpangan Long Lopeng Rancak Dibina


KUALA LUMPUR: Projek Lebuh Raya Pan Borneo, Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Lawas ke persimpangan Long Lopeng kini dalam pembinaan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cadangan pelaksanaan projek SSLR fasa kedua itu melibatkan tiga pakej iaitu pakej satu sepanjang 137 kilometer (km), pakej kedua (98 km) dan pakej ketiga (91 km) dengan jumlah keseluruhan yang dianggarkan sepanjang 326 km.

“Bagi cadangan pembinaan projek Lebuh raya Trans Borneo (LTB) pula melibatkan melibatkan tiga seksyen iaitu Seksyen Miri sepanjang 4.95 km, Seksyen Limbang (57.30 km) dan Seksyen Lawas 34.10 km.

“Jumlah keseluruhan jajaran yang terlibat lebih kurang 96.35 km,” katanya dalam Teks Penggulungan Perbahasan Titah Diraja 2022 Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Keempat Belas 2022 Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, cadangan pelaksanaan projek SSLR fasa kedua dan projek LTB telah mendapat kelulusan secara prinsip berdasarkan Mesyuarat Kabinet pada 4 Mac 2022.

“Dengan pelaksanaan SSLR fasa kedua dan projek LTB ia bukan sahaja akan menambahbaikan jaringan jalan raya di Sarawak dan melengkapkan jaringan jalan raya ke negeri Sabah dan negara Brunei Darussalam.

“Bahkan, bakal mewujudkan peluang pekerjaan, pemangkin pembangunan sosioekonomi dan menyediakan laluan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat bagi penduduk di Sarawak khususnya,” ujarnya lagi.

Menurutnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil maklum dan sedang menyusun strategi pembangunan rangkaian jalan raya terkini susulan pengesahan perpindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara. 

“Salah satu daripada projek yang dikenal pasti adalah Projek Lebuh raya Trans Borneo jajaran Kalabakan-Serudung merupakan sebahagian daripada jajaran Lebuh Raya Trans Borneo.

“Kementerian ini akan meneliti cadangan projek Lebuh Raya Trans Borneo jajaran Kalabakan-Serudung ini dan akan mempertimbangkan untuk diangkat kepada Agensi Pusat di dalam rancangan boleh pinda yang akan datang, tertakluk kepada keutamaan projek dan ketersediaan siling peruntukan pembangunan Kementerian ini,” jelasnya.

Sumber dari : Jiwa Bakti